KUALA LUMPUR: Bursa saham di Asia merudum semalam kesan tekanan jualan di pasaran global ekoran kejatuhan besar di Amerika Syarikat (AS) berikutan kebimbangan pelabur mengenai tinjauan masa depan ekonomi negara itu.

Bursa Malaysia turut menerima kesan kejatuhan itu dengan menyaksikan penanda aras utamanya, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) jatuh 26.12 mata, atau 1.89 peratus untuk ditutup pada 1,355.38 mata.

Bagaimanapun kejatuhan lebih teruk dialami pasaran saham utama Asia yang lain. Di Tokyo, Indeks Nikkei 225 jatuh 418.28 mata atau 2.36 peratus untuk ditutup pada 17,283.81, Indeks Hang Seng di Hong Kong (-641.28 mata, atau 2.8 peratus kepada 22,570.41), manakala Indeks Straits Times Singapura (-87.03 mata kepada 3,492.70 mata).

Indeks Sensex di Mumbai India (-541.74 mata atau 3.43 peratus kepada 15,234.57), Indeks penanda aras pasaran Korea Selatan (-4.1 peratus), manakala Indeks Komposit Manila (-140.92 mata kepada 3,518.76).

Ketua Penyelidik di OSK Research Sdn Bhd, Kenny Yew, berkata tekanan jualan di pasaran saham Asia termasuk Bursa Malaysia semalam jelas digerakkan kejatuhan ketara di Wall Street kelmarin.

Bagaimanapun, beliau berpendapat tekanan jualan itu terutama di pasaran saham tempatan adalah reaksi spontan pelabur dan bersifat sementara.

“Melihat secara menyeluruh, masih wujud minat kukuh terhadap kaunter tertentu, terutama saham murah, khususnya yang berkaitan dengan pembinaan.

“Saya jangka pasaran tempatan akan kembali meningkat minggu depan jika tiada perkembangan drastik berlaku di Amerika kerana kerajaan akan membuat pengumuman penting membabitkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang akan memberi lonjakan baru kepada pasaran,” katanya.

Harga saham di Amerika mengalami tekanan jualan besar-besaran pada Khamis berikutan kebimbangan pelabur mengenai tinjauan masa depan ekonomi negara itu ekoran perangkaan terbaru pasaran hartanahnya.

Pelabur juga bimbang kelemahan dalam pasaran hartanah itu akan memberi kesan kepada bank dan syarikat kewangan yang seterusnya menyebabkan kesukaran mendapatkan pinjaman dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

Tindakan pelabur mengalihkan pelaburan daripada saham kepada instrumen lebih selamat seperti bon menyebabkan Purata Indeks Perusahaan Dow Jones menjunam 311.5 mata atau 2.26 peratus kepada 13,473.57 mata kelmarin.

Kejatuhan itu adalah kedua terburuk selepas 27 Februari lalu apabila indeks utama pasaran saham Amerika itu merudum 416 mata kesan kejatuhan besar di pasaran saham Shanghai.

Mengulas perkembangan itu, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata ekonomi Malaysia kini mempunyai asas kukuh untuk menghadapi sebarang perkembangan negatif di luar.

“Prospek pertumbuhan ekonomi negara tidak akan terjejas walaupun berlaku kelembapan dalam ekonomi Amerika. Asas ekonomi Malaysia kukuh dan pelbagai serta mempunyai keanjalan menongkah sebarang faktor negatif dalam persekitaran luar.

“Walaupun kemungkinan kelembapan ekonomi di tempat lain atau di Amerika memberi kesan kepada eksport Malaysia, ia tidak akan menjejaskan pembangunan kerana kerajaan melancarkan banyak program dan dasar bagi memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.

P/S: nampaknya kekuatan matawang us dollar dan yen minggu lepas turut tempias kepada RM.